“Orang muslim yang kuat imannya tidak mencintai sesuatu kecuali kerana Allah. Dan tidak pula membenci sesuatu, kecuali benci kerana Allah. Oleh kerana itu ia akan mencintai atau membenci sesuatu kalau Allah dan Rasul-Nya mencintai atau membencinya”
Saya menulis ayat tersebut dari sebuah kitab ‘PEDOMAN HIDUP MUSLIM’ bab 7 Adab Bersaudara kerana Allah cinta dan benci kerana Allah. Kitab ini karangan Abu Bakr Jabir Al-Jazairi. (Buku ini dibeli oleh adik saya, Cikgu Fadzilah masa dia masih menuntut di UPM, sekarang mengajar di Sek St Andrew Muar ).
Tertarik untuk menulis post tentang persaudaraan islam atas tarikan-tarikan istimewa yang berlaku pada diri saya beberapa hari kebelakangan ini. Betapa sayangnya Allah pada hamba-Nya akan diuji atas kesabaran yang mampu ditampung untuk menerima hadiah anugerah di hari kemudiannya.
Didatangi oleh insan-insan yang mengingatkan aku pada-Nya….oh! sungguh indah hidup ini.
Sabda Nabi Muhammad (S.A.W):
“Seorang laki-laki berkunjung kepada saudaranya kerana Allah. Lalu Allah menyuruh seorang Malaikat untuk mengikuti laki-laki itu. Malaikat bertanya; Mahu kemana kamu? Ia menjawab: Aku mahu mengunjungi saudaraku si Fulan. Malaikat berkata: Apakah engkau punya keperluan dengannya? Laki-laki itu menjawab: Tidak ada! Malaikat berkata: Apakah kerana pertalian kerabat antara engkau dan dia? Laki-laki itu menjawab: Tidak! Malaikat berkata: Barangkali ada satu nikmatnya dengan kunjunganmu padanya? Laki-laki itu menjawab: Tidak! Malaikat bertanya: Kalau begitu apa keperluanmu? Laki-laki itu menjawab: Aku menyenangi dia kerana Allah. Malaikat berkata: Sesungguhnya Allah telah mengutus aku untuk menyampaikan berita kepada kamu, bahawa Allah mencintaimu, kerana engkau mencintai-Nya. Maka Allah menwajibkan kamu masuk Syurga” (Riwayat Muslim).
Saya masukkan beberapa perkara penting dalam tajuk bersaudara atau istilah biasa disebut bersahabat;
Adab orang yang ingin dijadikan saudara
Diantara adab orang yang akan dijadikan sahabat adalah:
a) Orang berakal, sebab tak ada kebaikkannya berkawan dan bersaudara dengan orang yang dungu. Kerana terkadang mereka itu dapat membahayakan dan hanya ingin mengambil keuntungan.
b) Baik budi pekertinya, kerana buruk akhlaknya walaupun berakal kadang-kadang dikalahkan oleh dorongan hawa nafsunya atau dikuasai oleh amarah sehingga berakibat buruk sahabatnya.
c) Orang taqwa, kerana orang fasik yang tidak taat kepada Tuhannya tidak aman bagi orang yang berada dekat dengan-Nya. Kadang-kadang dia berbuat suatu kejahatan kepada sahabatnya sendiri dengan tidak mempedulikan persahabatan dan sebagainya. Sebab orang yang tidak takut kepada Allah, tidak takut pula kepada hal-hal lainnya.
d) Menekuni kitab dan sunnah, menjauhkan diri dari khurafat dan bid’ah, kerana tukang bid’ah kadang-kadang mebawa sial bagi sahabatnya.Tukang bid’ah dan khurafat harus dijauhi, sebab tak mungkin dapat membina persahabatan.
Perkara ‘bersaudara’ amat luas definisi dalam kehidupan. Saudara dalam keluarga, saudara dalam bersahabat, saudara dalam masyarakat, saudara sesama insan.
Menyebut tentang adab bersaudara, saya tersenyum sendiri mengenang memori semalam. Seorang trainee, cukuplah saya gelarkan ‘S’, meluahkan rasa debaran menjelang hari bahagianya. Namun apa yang menarik disebalik perbualan singkat kami, dapat dirasakan betapa Allah menganugerahi dia dengan jalan kehidupan yang indah nur islamnya, insya Allah. Selama saya berkhidmat disini pun, dia antara trainee yang mempunyai perilaku budi pekerti indah. Pertuturan, pakaian, akhlak, amalan yang cukup enak dipandang dan didampingi. Mungkin dibesarkan dan dipelihara dalam keluarga memberatkan amalan, itu pengaruh dan kesan apa yang dimilikki dan dipersembahkan kepada masyarakat. Bakal bertemu jodoh pula dengan seorang hamba Allah yang pernah berpengalaman hidup di bumi anbiya’…
Walaupun S bukanlah ‘sahabat’ yang sebaya yang pernah makan sepinggan, tidur sebantal, namun saya menyenangi kehadirannya yang sekejap ini sebagai saudara dan anugerah kerana cantik akhlak yang mengingatkan aku pada-Nya.
Semoga ‘S’ diberkati Allah hendak-Nya, selama dilimpahi rahmat kasih-sayang-Nya.
Mudah-mudahan Allah memelihara persaudaraanku kepada semua saudara-saudaraku….amin.
Subscribe to:
Post Comments (Atom)
No comments:
Post a Comment