Sunday, January 10, 2010

Makan dengan berkat

Dalam Utusan Malaysia 1 Januari lalu, saya menggunting dan menyimpan artikel ‘Pantau bahan guna label halal’ tulisan Dr. Saodah Abd. Rahman (seorang Pensyarah Kanan Jabatan Usuluddin dan Perbandingan Agama UIAM).

Sebagai umat islam kita semestinya menjaga sudut pemakanan bermula dari punca dan sumber untuk mendapatkan hasil yang diberkati. Saya percaya masih ramai dikalangan kita yang tidak mengambil kisah tentang apa yang dimasukkan ke dalam mulut mereka melainkan keinginan untuk kenyang, sihat dan cantik. (kadang-kadang nak baca bismillah mula makan pun lupa apatah lagi doa ketika kenyang).

Dalam usrah Sabtu lalu ada menyebutkan tentang perihal makanan. Tanggungjawab sebuah Negara untuk menyediakan makanan kepada rakyatnya. Menyediakan dalam istilah lebih luas menyentuh kepada pemantauan dan penguatkuasaan. Wajib menyediakan makanan yang halal untuk umatnya.

Artikel tersebut membayangkan tentang kepercayaan logo halal yang terdapat pada produk di pasaran. Ini menunjukkan kita masih perlu berhati-hati ketika membeli apa saja keperluan harian. Ini bukan saja merujuk kepada makanan tetapi juga bahan-bahan lain seperti ubat gigi, minyak wangi, alat solek dan macam-macam lagi. Ini tidak mustahil kerana jika dikira nisbahnya, berapa jauhlah nisbah produk islam yang dihasilkan di dunia ini berbanding produk bukan islam.

Kita disogokkan dengan jenama terkenal, nilai mahalnya barang/produk hingga tidak perasan kepada perkara yang lebih penting iaitu isi kandungan. Memanglah dimaafkan jika kita tidak tahu tetapi saya juga percaya ada yang ‘syubhah’. Mereka tidak tahu bahawa syubhah itu telah jatuh kepada hukum.

Saya sering menerima e-mail tentang produk yang mengandugi kod-kod berunsur lemak babi (tak pasti sama ada ia khabar ingin atau benar). Mula-mula mungkin kita berhati-hati setelah menerima pesanan, namun lama-kelamaan mungkin kita terlupa jika peringatan ini dibuat sekadar cara sembunyi-sembuyi. Mengapa tidak makanan yang mengandungi kod lemak babi ini, dilabel terus perkataan LEMAK BABI atau LEMAK KHINZIR. Kan mudah nak mengelak atau sekurang-kurangnya produk itu sah-sah mesti dijauhi jika terlanjur membeli buat kali pertama.

Makanan membentuk peribadi seseorang muslim, jika makanan yang dimakan tidak dijaga, ia akan masuk ke dalam tubuh untuk diproses menjadi hasil yang kurang berkat. Bila kurang berkat, jadilah hamba yang celaru….



*Gambar diatas adalah ahli keluarga saya dengan kisah makannya masing-masing.
Ada yang hidupnya agak murah rezeki dengan duit, lalu makannya disediakan orang. Entah le dari remaja sampai la ni dah kawin, saya cuma teringat air tangannya adalah mee hailam. Itupun waktu kami sekeluarga berkampung di rumahnya di KL, November tahun lalu. Yang lain macam betul-betul tak ingat.

Ada yang pernah menjadi bibik, yang ni sebab boleh memasak, kuranglah bergantung pada tukang masak kedai.

Ada yang raja makan, beruntung dia sebab bersuamikan lelaki yang ringan tangan dengan presentation masakan. Di awal perkahwinannya, dia lebih banyak memerhati si suami melayan periuk belanga (bukan tak pandai masak langsung) sekarang dah pandai la masuk gelanggang.

Itu semua perangai adik-adik, kakak yang sulong pula. Ok la dah dari dulu jadi kakak, bab makan mudah disediakan sendiri. Cuma kadang-kadang mungkin dah biasa dengan selera belah suaminya, jadi ‘chemistry’ dengan saya mcm kurang sikit.

Seorang lagi pra-wanita yang bakal bergelar wanita, kini sedang membesar dalam proses belajar untuk mengenal erti makan, dapur dan masak.

Saya? Dulu membeli makanan di luar dirasakan macam hidup bermewahan atau bermalasan, namun mungkin lama hidup ni lebih tahu dan faham sedikit tentang kaitan ilmu makanan dan kehidupan sebagai hamba Allah, lebih selesa makan dari periuk di dapur sendiri, lebih puas walaupun tak sehebat chef yang menjanjikan keenakkan menjilat jari. Namun bila dapat bersyukur, itu lebih memuaskan. Yang indah bila sesekali dilakukan sessi ‘open table’ berkeluarga, bukan selalu.

Apapun, pastikan makan, yang halal dimulakan bismillah, jika terlupa; bismillahi awwaluhu wal akhir.. (selalu aje lupa doa lepas makan, terbaca doa bangun tidur atau keluar tandas sebab ada kalimah alhamdulillah)

1 comment:

  1. Untuk harga emas jongkong dan lain-lain yang hebat sila hubungi saya di goldman999.9@hotmail.com.

    Harga lagi murah daripada Habib, Poh Kong dan dealer2 lain. Bekalan antarabangsa.

    Terima kasih.

    ReplyDelete